Sunday, August 22, 2010

Jurnal Refleksi Minggu Ke 6

              Salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.Jurnal refleksi bagi minggu ke 6 kali ini akan mengupas tentang kesenian Mak Yung dan Kompang.Kedua-dua kesenian ini mempunyai sejarah dan keunikan yang tersendiri lain daripada yang lain.Kesenian Mak Yung dan juga kompang amatlah menarik dan mempunyai nilai estetika yang amat tinggi dan ianya wajar untuk dikenali dan dihayati oleh golongan muda pada zaman sekarang.
               Mak Yung merupakan salah satu seni tari masyarakat Melayu yang popular di utara Malaysia.Ia merupakan dramatari kuno yang mengutamakan dialog,tarian,muzik vokal dan instrumental.Persembahan Mak yung juga merupakan sesuatu kisah yang dipentaskan kepada khalayak ramai tentang lagenda dan mitos.Ia berasal daripada Pattani,Siam dan sebelum tersebar luas ke seluruh Tanah Melayu hingga ke kepulauan Riau-Lingga di Indonesia.Mak Yung amat sinonim dengan negeri Kelantan berikutan pengaruh Sultan Mohamad ke 4 ke atas kesenian ini,walaupun Mak Yung ada juga terdapat di Kedah dan Terengganu.Di bawah pemerintahan baginda Sultan,Tengku Temenggung Ghaffar telah bertanggjungjawab untuk menyelia Mak Yung di Kampung Temenggung,Kota Bahru.Sistem latihan,kostum dan muzik bagi Mak Yung telah diperhalusi dan diperkemas.Walaupun adanya campur tangan kerabat diraja,kesenian Mak Yung telah sedikit demi sedikit telah bertukar dari tradisi istana ke tradisi rakyat.Ia telah dapat disertai dan dinikmati oleh rakyat jelata
               Mak Yung dipersembahkan untuk tujuan ritual mahupun untuk persembahan bagi khalayak ramai.Bagi tujuan ritual,ia dipersembahkan secara Main Puteri.Cara persembahan sebegini pada dasarnya bertujuan untuk menyembukan penyakit menurut kepercayaan mistik.Aras panggung bagi persembahan ini pula sama arasnya dengan aras tanah.Bagi tujuan persembahan pula,lantai panggung didirikan beberapa kaki dari aras tanah.Pentasnya pula berbumbung dan pelaku yang terlibat bagi persembahan Mak Yung akan berada di tengah-tengah pentas.Pelaku seni tari yang terdiri daripada pemuzik dan para penari akan dikelilingi oleh penonton yang akan menonton dari sekeliling pentas.Cerita-cerita Mak Yung yang dipersembahkan merupakan cerita rakyat.Ia disampaikan kepada para penonton secara dialog nyanyian,tarian serta diiringi muzik vokal dan instrumen tertentu.Drama tari Mak Yung mengandungi watak-watak seperti Pakyung iaitu watak atau teraju utama persembahan Mak Yung.Watak lain adalah seperti Makyung,Puteri Makyung,Peran Tua dan muda,serta Tok Wak,iaitu ahli nujum.Semua persembahan Mak Yung sebelum abad ke 20 dimainkan oleh lelaki.Walaubagaimanapun,menjelang abad ke 20,watak utama telah dimainkan oleh wanita sehinggalah sekarang.
                 Lagu-lagu yang terdapat dalam persembahan Mak Yung pula adalah seperti lagu Mengadap Rebab,Kijang Mas,dan lagu Sindung.Lagu Mengadap Rebab merupakan lagu terpanjang dalam drama tari Mak Yung dan ia mengiringi tarian dan nyanyian Pak Yung.Lagu seterusnya selepas lagu Mengadap Rebab adalah lagu Kijang Mas.Dalam persembahan drama tari Mak Yung,terdapat juga mode bagi sesebuah lagu persembahannya,seperti contoh lagu Mengadap Rebab,semua pelakon memberi hormat ke atas alat muzik rebab,iaitu tunjang utama muzik bagi drama tari Mak Yung.
                Seperti yang telah dinyatakan,rebab adalah alat muzik utama dalam persembahan Mak Yung.Ia merupakan alat kelas kordofon,berbadan kayu berbentuk segi tiga.Ia mempunyai 3 tali dan memainkan melodi utama dalam persembahan Mak Yung.Muka badannya pula diperbuat dari kulit perut lembu.Terdapat bonggol kecil pada badan rebab.Ia dipanggil susu,dan tujuannya adalah untuk meredam bunyi.Ia diperbuat daripada lilin lebah.Alat-alat muzik yang lain pula adalah seperti gendang ibu dan gendang anak,dan tetawak atau gong.Kadang-kadang,alat tambahan digunakan seperti serunai,geduk dan canai.
                 Bentuk serta struktur lagu-lagu Mak Yung pula ditentukan dalam sistem gongan,dan ia dikawal oleh tetawak atau gong.Iramanya pula gaya bertingkah dan mempunyai empat lapisan iaitu pak,duh,cak dan ting.Tempo bagi lagu-lagu Mak Yung pula agak perlahan.Melodi lagu Mak Yung disampaikan oleh seorang penyanyi dan juga rebab.Melodinya agak kompleks dan berstruktur heterofoni.
                Seterusnya saya ingin merefleksikan semula tentang Kompang dan segala yang telah saya pelajari pada minggu yang ke enam.Kompang berasalkan dari Timur Tengah,iaitu dari kebudayaan Arab di Asia Barat.Ia dikenali dengan pelbagai nama seperti Dufuf,Daff,Duff,Tar atau Bendir.Di Indonesia ia dipanggil terbang atau rebana.Kompang telah dibawa ke Nusantara oleh pedagang Arab pada kurun ke 13 Masihi.Bagi masyarakat Melayu,kompang digunakan dalam meraikan perkahwinan,majlis keraian Islam,Maulidulrasul dan majlis berkhatan.Pada masa ini pula ia digunakan untuk menyambut ketibaan pemimpin atau untuk acara rasmi.
               Terdapat beberapa bahagian penting pada sesebuah kompang.Kompang diperbuat daripada kulit kambing betina yang ditegangkan.Bahagian kulit tersebut dipanggil sebagai belulang,manakala bahagian kayu berbentuk bulat pula dipanggil sebagai belulang baluh.
               Kompang dimainkan secara paluan dan terdapat beberapa teknik yang digunakan untuk menghasilkan bunyi yang berbeza.Kompang dipegang dengan sebelah tangan dan sebelah tangan lagi memalu kompang tersebut.Bunyi yang dihasilkan adalah bunyi "pak" dan "bung".Bunyi pak dihasilkan dengan memalu bahagian tengah kompang dengan jari yang terbuka.Bunyi bung pula terhasil apabila bahagian tepi kompang dipalu.Dalam permainan kompang pula terdapat beberapa jenis paluan iaitu paluan melalu,menyilang dan meningkah.Melalu adalah pukulan yang memainkan rentak asas manakala pukulan menyilang merupakan up beat kepada pukulan melalu.Paluan meningkah pula menjadi penghias rentak yang dimainkan antara melalu dan menyilang.Rentak-rentak yang terdapat dalam permainan kompang adalah seperti rentak inang dan rentak masri.Tempo yang digunakan dalam permainan kompang juga agak fleksibel pada masa kini,tetapi ia biasanya dimainkan dalam tempo yang agak laju.
               Seharusnya warisan muzik tradisional sebegini wajar diteruskan agar kesinambungannya dapat diteruskan dalam generasi moden pada masa kini.Pasti hilang seri majlis perkahwinan Melayu jika tiada paluan kompang,dan akan  termanggu generasi muda masa depan,sekiranya gerak tari lemah gemalai Mak Yung hilang ditelan zaman.Selamatkan khazanah tradisi kita.Sekian.
              

0 comments:

Post a Comment

 

Blog Pelajar Kumpulan A

Blog Pelajar Kumpulan B

Blog Pelajar Kumpulan C

SMP2252 GARRY Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template